
Pentas Anugerah Juara ke 24 menyaksikan kemenangan berganda buat penyanyi berbakat besar, Aizat. Lagu dendangannya, ‘Pergi’ dinobatkan sebagai juara menewaskan beberapa calon yang disebut-sebut sebelum ini. Manakala persembahannya menerusi lagu ‘Kau Aku’ turut diumumkan sebagai persembahan terbaik pada malam ini.
Kemenangan ini membolehkan Aizat membawa pulang wang tunai berjumlah RM45,000 keseluruhannya berserta trofi. RM35,000 untuk gelaran juara dan RM10,000 untuk persembahan terbaik. Bagaimanapun, jumlah ini bukanlah hak mutlak Aizat kerana lagu ‘Pergi’ adalah gubahan Pete Teo dan ditulis oleh Amran Omar. Sekalung tahniah GUA ucapkan kepada Aizat!
Walau apa pun, keputusan panel juri memilih Aizat sebagai juara memang tidak perlu disangkal kerana Aizat telah memberikan yang terbaik dalam persembahannya. Kedua-dua lagu dendangannya mempunyai kekuatan tersendiri. Malah, setiap kali dia beraksi, dia mendapat tepukan dan sorakan gemuruh daripada penonton di stadium.
Tempat kedua pula menjadi milik Yuna menerusi lagu ‘Dan Sebenarnya’ yang digubah dan ditulis olehnya sendiri. Yuna membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta trofi. Pengorbanan Faizal Tahir yang sanggup beraksi walaupun keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan akhirnya berbaloi apabila ‘Bencinta’ diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.
Bagaimanapun, Faizal gagal mempertahankan kategori Vokal Terbaik yang diraih olehnya pada AJL tahun lalu apabila ia berjaya dirampas oleh Black. Anak didik kepada Mas Idayu ini membuktikan kehebatan suaranya melalui lagu ‘Aku Rindu Sayang Kamu’. Black membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi.
AJL 24 menyaksikan pertandingan 14 buah lagu oleh 13 artis-artis popular solo dan berkumpulan. Tahun ini AJL kembali ke format asalnya iaitu secara sistem terbuka. Tiada lagi kategori Etnik Kreatif, Pop Rock dan Balada.
Secara keseluruhan, persembahan semua artis pada malam ini cukup mengkagumkan. Selain membuatkan penonton terpegun dengan kehebatan vokal masing-masing, penonton juga terhibur dengan setiap persembahan yang ditampilkan. Ternyata pelapis baru industri muzik mempunyai idea memberangsangkan.
Bertemakan Music Unfold, AJL 24 malam ini menerapkan perkembangan dan perjalanan arus muzik dan irama terutamanya di dalam industri tempatan. Pembukaan acara malam turut mencipta sejarah apabila Diva nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza berduet dengan mantan vokalis Meet Uncle Hussien, Lan menerusi lagu ‘Laguku Untukmu’yang merupakan juara AJL 23. Paduan vokal dua penyanyi ini cukup hebat dan unik sehingga mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton di stadium.
Selain itu, GUA juga memuji usaha TV3 menampilkan persembahan penutup yang hebat dan terkesan di memori setiap yang hadir. Kehadiran ‘otai-otai’ lama berjaya mengheret penonton mengimbas ke zaman kegemilangan irama muzik pop yeh yeh, disco, rock dan irama terkini muzik indie. Kemunculan lagenda Rock, Search menggamatkan suasana sehingga membuatkan ramai penonton berdiri memberi tepukan. Ternyata Search masih bisa menyengat.
Persembahan daripada Datuk Jeffrydin, Jay Jay dan Meet Uncle Hussien juga tidak kurang hebatnya. Meet Uncle Hussien menampilkan Black dan Hazama sebagai vokalis jemputan merekaPersembahan ‘interlude’ ini diakhiri dengan lagu ‘Hapuskan Cetak Rompak’.
Sementara itu, AJL 24 sekali lagi menampilkan gandingan Ally Iskandar, Faizal Ismail dan Cheryl Samad sebagai pengacara. Ketiga-tiga pengacara ini berjaya menghiburkan penonton apabila meneruskan kesinambungan promosi AJL 24 sebelum ini apabila Faizal dan Ally saling ‘bergaduh’ dan perli-memerli. Cheryl pula bertindak menjadi orang tengah. Tindak-tanduk mereka ini menghiburkan dan menghidupkan suasana.
Sebelum kemuncak, acara karpet merah telah diadakan pada jam 7.30 malam yang menyaksikan selebriti tanah air hadir dengan menggayakan busana rekaan pereka-pereka fesyen terkenal. Acara karpet merah itu boleh disaksikan di laman web http://www.tv3.com.my. Selain itu penonton juga berpeluang mendapatkan cerita-cerita eksklusif dan sebalik tabir dengan melayari http://www.gua.com.my.







best kan aizat
________________________________
panduan bina otot badan lelaki